SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI!!

Selamat Datang diucapkan kepada semua pengunjung blog rasmi program Debat Bahasa Melayu 100 Jam Tanpa Henti ini. Segala komen, cadangan dan teguran boleh dikemukakan terus di blog ini dan juga ke e-mail penulis - debatmelayu100jam@yahoo.com. Selamat melayari laman ini. Terima Kasih.

Friday, December 15, 2006

STRUKTUR/FORMAT DEBAT ALA-PARLIMEN MALAYSIA...


STRUKTUR PERDEBATAN DEBAT ALA-PARLIMEN MALAYSIA
1. Usul perdebatan akan dimaklumkan 30 minit sebelum perdebatan. Sebarang masa perjalanan ke tempat perdebatan termasuk dalam 30 minit berkenaan. Semua pasukan diharapkan dapat menepati waktu.

2. Perdebatan dijalankan dalam Bahasa Melayu mengikut gaya Perdebatan ala-Parlimen Malaysia.

3. Setiap pusingan debat mempunyai dua pasukan iaitu pasukan Kerajaan (pencadang) dan Pembangkang. Setiap pasukan terdiri daripada 3 orang pendebat dan seorang pendebat simpanan.

4. Pasukan Kerajaan terdiri daripada Perdana Menteri dan 2 anggota kerajaan manakala pasukan Pembangkang terdiri daripada Ketua Pembangkang dan dua anggota pembangkang.

5. Setiap pendebat perlu menyampaikan ucapan substantif. Ucapan gulungan bagi pihak Kerajaan dan Pembangkang boleh disampaikan sama ada oleh pendebat pertama atau kedua daripada pihak masing-masing.

6. Had waktu dan susunan ucapan bagi setiap peserta adalah seperti yang berikut:

Ucapan Substantif
Perdana Menteri/pencadang pertama - 7 minit
Ketua Pembangkang/pembangkang pertama - 7 minit
Anggota Pertama Kerajaan/pembangkang kedua - 7 minit
Anggota Pertama Pembangkang/pembangkang kedua - 7 minit
Anggota Kedua Kerajaan/pencadang ketiga - 7 minit
Anggota Kedua Pembangkang/pembangkang ketiga - 7 minit

Ucapan Gulungan
Gulungan/rumusan Pembangkang - 4 minit
Gulungan/rumusan Kerajaan - 4 minit


7. Untuk setiap ucapan substantif, loceng akan dibunyikan sekali selepas seminit masa berlalu bagi menandakan pasukan lawan sudah boleh melakukan celahan / meminta penjelasan, dan sekali lagi pada satu minit terakhir bagi menandakan masa untuk membuat celahan sudah tamat. Loceng akan dibunyikan dua kali apabila masa tamat.

8. Untuk ucapan gulungan, loceng akan dibunyikan sekali pada permulaan minit yang ketiga dan dua kali apabila tamat masa empat minit.

9. Pendebat yang melebihi had masa lebih daripada 30 saat akan diberi amaran dan akan diminta menamatkan ucapan oleh Yang DiPertua Dewan (Speaker).


PERANAN SETIAP PASUKAN
1. Peranan pihak Kerajaan adalah untuk menyokong usul. Mereka perlu mendefinisikan usul, memberi hujahan/kes yang menyokong usul dan membidas sebarang cabaran yang dibuat oleh pihak Pembangkang terhadap hujahan usul mereka.

2. Peranan pihak Pembangkang adalah untuk membangkang usul. Mereka perlu menjawab definisi Kerajaan dan jika perlu membina hujahan/kes bangkangan terhadap usul dan membidas hujahan yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan.


FAKTA BARU
1. Tiada sebarang “fakta baru” dibenarkan bagi disampaikan dalam ucapan substantif pendebat ketiga dan ucapan gulungan mana-mana pasukan (Kerajaan atau Pembangkang). Contoh baru ialah bukan fakta baru. Hujahan atau fakta dikira “baru” kecuali:-

i. Yang telah digunakan dalam mana-mana hujahan terdahulu
ii. Yang merupakan bidasan terhadap hujahan pasukan lawan


DEFINISI
1. Tugas memberikan definisi usul perdebatan yang wajar dan boleh dibahaskan ialah hak dan tanggungjawab pihak Kerajaan.

2. Pihak Pembangkang boleh:-
i. Menerima definisi Kerajaan secara keseluruhan/mutlak; atau
ii. Menerima dengan membuat pindaan tertentu; (hanya untuk kategori Bahasa Melayu) atau
iii. Menolak secara keseluruhan/mutlak dan mengemukakan definisi alternatif.
3. Pihak Pembangkang boleh menolak definisi pihak Kerajaan secara keseluruhannya hanya jika:-
i. Definisi pihak Kerajaan tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan maksud sebenar usul.
ii. Definisi pihak Kerajaan ialah “truistik”, iaitu tidak boleh dibangkang dengan hujahan rasional.
iii. Definisi pihak Kerajaan berdasarkan kepada pendefinisian yang terlalu spesifik ataupun yang melibatkan masa dan tempat yang tidak masuk akal.



PENJELASAN/CELAHAN
1. Penjelasan/celahan dalam konteks ini bermaksud penjelasan yang diminta oleh pihak lawan bagi membetulkan pendebat yang sedang berucap atau menimbulkan fakta penting. Penjelasan/celahan hendaklah ringkas dan bersangkutan dengan apa yang sedang dibincangkan oleh pendebat tersebut.

2. Pendebat yang sedang berucap mempunyai hak mutlak sama ada untuk menerima atau menolak penjelasan/celahan yang cuba diberikan. Bagaimanapun, penolakan penjelasan/celahan yang berterusan atau penerimaan yang keterlaluan sehingga menjejaskan kualiti ucapan pendebat tersebut harus dipandang serius. Dengan ini disyorkan setiap pendebat menerima sekurang-kurangnya dua penjelasan. Walau bagaimanapun, program perdebatan ini tidak mengenakan had maksimum atau minimum bagi menerima penjelasan/celahan.

3. Penjelasan/celahan tidak boleh melebihi 15 saat. Loceng akan dibunyikan selepas 15 saat. Jika penjelasan / celahan belum selesai, pendebat yang meminta penjelasan/celahan hendaklah duduk serta-merta.

4. Penjelasan/celahan tidak boleh diminta sebelum berakhir minit pertama dan pada minit terakhir mana-mana ucapan substantif. Loceng akan dibunyikan sekali bagi menandakan permulaan dan sekali lagi pada pengakhiran waktu meminta penjelasan dibenarkan. Penjelasan/celahan tidak boleh diminta dalam ucapan gulungan.

5. Hanya ahli daripada pihak lawan boleh meminta penjelasan/. Pendebat hendaklah memberi isyarat jika ingin mencelah dengan cara berdiri, mengangkat tangan, membuat permohonan dan sebagainya yang menggunakan cara yang sesuai.

6. Pendebat yang sedang berucap boleh menerima atau menolak penjelasan dengan memberi isyarat fizikal atau memberitahu secara lisan. Jika ditolak, pendebat yang ingin meminta penjelasan/celahan hendaklah duduk dan menunggu peluang yang lain.

7. Apabila penjelasan/celahan diterima, pendebat yang sedang berucap tidak boleh menjawab selagi pendebat yang meminta penjelasan belum selesai mencelah atau peruntukan 15 saat yang diberi belum tamat (yang mana dahulu). Pendebat tidak wajar memotong penjelasan/celahan yang diminta oleh pasukan lawan apabila telah menerimanya.



BANTAHAN SEMASA PERDEBATAN SEDANG BERLANGSUNG
1. Bantahan dalam konteks ini bermaksud bantahan yang diajukan oleh pendebat kepada Yang Dipertua Dewan semasa perdebatan berlangsung bagi menarik perhatian beliau terhadap perlanggaran sebarang peraturan perdebatan seperti:-
i. Penggunaan aksi atau bahasa yang kurang sopan dalam
perdebatan; atau
ii. Pengenalan fakta baru semasa dalam ucapan substantif pendebat
ketiga dan/atau ucapan gulungan; atau
iii. Mana-mana pendebat yang melebihi had masa lebih daripada 30 saat.

2. Menjadi tanggungjawab setiap pasukan untuk menyuarakan bantahan terhadap sebarang pelanggaran peraturan. Keputusan Yang DiPertua Dewan sama ada untuk menerima atau menolak bantahan yang dikemukakan adalah muktamad.

3. Jika bantahan diterima, Yang DiPertua Dewan boleh mengarahkan pendebat yang terbabit agar mematuhi peraturan yang dibangkitkan dan masa yang digunakan untuk membuat bantahan akan dikira dari masa pendebat yang sedang berucap. Sebaliknya, jika bantahan ditolak pendebat terbabit akan diberikan masa tambahan bagi menggantikan masa yang telah digunakan semasa bantahan tersebut.


TAJUK PERDEBATAN
1. Tajuk-tajuk bagi setiap pusingan perdebatan akan diumumkan kepada peserta hanya 30 minit sebelum bermulanya perdebatan.

2. Tajuk-tajuk perdebatan pertandingan perlulah merangkumi isu dan bidang yang berlainan secara menyeluruh, contohnya yang merangkumi bidang falsafah, politik, ekonomi, undang-undang sosial, sukan, sains dan teknologi.

3. Tajuk-tajuk perdebatan akan disediakan oleh pihak penganjur.

11 comments:

Anonymous said...

adakah ahli-ahli debat ini tidak sembahyang

Hanim Jailani said...

mcm xde soalan lain..

nadhira said...

terima kasih. sangat membantu.

Anonymous said...

Terima kasih atas maklumat yang diberi .Ianya sangat membantu di dalam pembelajaran

Anonymous said...

Boleh bagi format x ? such as :

PM : Ucapan
Definisi

Anonymous said...

kalau tajuk debat "kebersihan tanggungjawab belia " jadi usul yang sesuai macam mana pula.

Unknown said...

Siapa boleh ajar saya debat ni pm wechat@whatsapp
Id=fareeda_2205
No telefon =0179561587

Unknown said...

Siapa boleh ajar saya debat ni pm wechat@whatsapp
Id=fareeda_2205
No telefon =0179561587

Miss Nierah said...

boleh tak kongsikan cara cara memberikan pendefinisian yang baik

Unknown said...

Pendefinisian bleh dibuat dngan memecahkan frasa asingkan antara
Mana satu subjek perdebatan dan frasa kontroversi Seterusnya setiap pendefinisian mesti mempunyai autoriti cthnya mmpunyai kenyataan drpd mana2 pihak seperti prof atau menteri

Unknown said...

Aku tengah belajar macam mana nak debate dengan beryl.bantulah saya.