SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI!!

Selamat Datang diucapkan kepada semua pengunjung blog rasmi program Debat Bahasa Melayu 100 Jam Tanpa Henti ini. Segala komen, cadangan dan teguran boleh dikemukakan terus di blog ini dan juga ke e-mail penulis - debatmelayu100jam@yahoo.com. Selamat melayari laman ini. Terima Kasih.

Wednesday, December 13, 2006

TAMBAHAN INFORMASI... SOALAN-SOALAN POPULAR (FAQs)

Alhamdulillah, pihak penganjur menerima banyak respon yang positif terhadap program ini. InsyaAllah, pihak penganjur akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran program ini dan memberi yang terbaik kepada para peserta nanti.

Berikut adalah soalan-soalan yang popular/lazim yang kami terima setakat ini. Harap informasi ini boleh dikongsi bersama. Kepada yang bertanya, jutaan terima kasih diucapkan. :) Sokongan anda amatlah dihargai...


----------------------------------------------------------------

(1) Adakah aktiviti ini berbentuk program ataupun pertandingan?kalau pertandingan, apakah ada hadiah yg menanti peserta?
Untuk pengetahuan semua, program ini hanyalah program/aktiviti berbentuk debat antara lain bertujuan untuk mencipta rekod debat paling lama dalam sejarah (Guinness World Records & Malaysia Book of Records) – ianya bukannya pertandingan, jadi tiada hadiah disediakan – pihak penganjur hanya menyediakan makan/minum/penginapan (utk peserta dari luar Lembah Kelang sahaja) dan sebagai tanda penghargaan, cenderahati berbentuk t-shirt edisi terhad Debat Bahasa Melayu 100 Jam Tanpa Henti dan sijil penyertaan (insyaAllah akan dihantar kepada para peserta sekurang-kurangnya 2 bulan selepas tamat program – ini adalah kerana pihak penganjur perlu berurusan dengan pengesahan rekod daripada pihak berkenaan).


(2) Adakah disediakan tempat penginapan?
Pihak penganjur akan menyediakan tempat penginapan hanya kepada peserta dari luar Lembah Kelang sahaja – perlu diingatkan juga memandangkan para peserta akan datang silih berganti jadi kami akan menasihati para peserta terbabit mengenai jumlah jam penyertaan debat yang bakal disertai dan tempat penginapan.

Sebagai contoh, sekiranya ada peserta datang dari Negeri Johor dan ingin berdebat untuk 3 jam pada 20/12/2006 (e.g. 4pm, 8pm & 11pm), pihak kami akan menyediakan tempat tinggal untuk tarikh 20/12/06 sahaja dan daftar keluar (check-out) dari tempat penginapan pada 21/12/06. Antara sebab kami terpaksa memantau penginapan ialah kami tidak menyediakan penginapan untuk penonton/penyokong – ianya hanya untuk kemudahan para peserta berdaftar program ini sahaja. Selain itu, pihak kami juga mempunyai tempat penginapan yang amat terhad. Harap maklum akan kesulitan ini. Namun begitu, sokongan dan perhatian anda semua amatlah dihargai.



(3) Adakah kami dibenarkan membawa komputer riba bersama untuk kegunaan pencarian maklumat?
Ya. Pihak penganjur tidak mempunyai halangan sama sekali.


(4) Adakah pihak tuan menyediakan pengangkutan ke DBP jika kami berada di Stesen bas? Macam mana kami hendak ke DBP?
Pengangkutan boleh diaturkan - walaubagaimanapun, pihak penganjur hendaklah dimaklumi sekurang-kurangnya 3 hari lebih awal bagi kami merancang perjalanan perkhidmatan kami. Sila maklumi kami akan lokasi stesen bas anda, jumlah peserta (peserta berdaftar sahaja akan dijemput: minimum 3 orang peserta untuk kemudahan pengangkutan ini, sekiranya jumlah kurang dari 3 orang, pihak penganjur tidak dapat melayani permintaan para peserta – permohonan untuk tujuan yang sama daripada para penyokong dan lain-lain tidak akan dilayan).

Peta dan lain-lain informasi (seperti no bas/komuter/LRT/teksi) untuk sampai ke DBP akan kami poskan di laman blog ini sebelum atau pada hari Jumaat, 15 Disember 2006 ini untuk kemudahan para peserta.

Harap maklum juga bahawa perkhidmatan pengangkutan kami amat terhad. Harap maklum akan kesulitan ini. InsyaAllah, pihak penganjur akan berusaha sebaik mungkin untuk memudahkan perjalanan/penyertaan anda.


(5) Bagaimana cara untuk menghantar penyertaan tersebut?
Penyertaan boleh dibuat secara ‘on-line’ di blog ini. Sekiranya para peserta memilih untuk mendaftar secara manual, mereka bolehlah berbuat demikian dengan hanya perlu memberikan maklumat yang seperti yang tertera di laman blog ini dan emailkan kepada kami di alamat debatmelayu100jam@yahoo.com. Pihak kami akan mendaftarkan penyertaan bagi pihak anda. Sekiranya terdapat sebarang pertindihan di atas masa/hari di kalangan peserta (di mana para peserta memilih untuk berdebat pada masa/hari yang sama/posisi perdebatan yang sama [kerajaan/pembangkang], pihak kami akan menghubungi pihak berkenaan untuk konsultasi lanjut. Kerjasama para peserta amatlah dihargai untuk memberikan nombor telefon untuk dihubungi.


(6) Bagaimana pembahagian giliran (tarikh dan masa) untuk setiap kumpulan membahas?
Pembahagian giliran (tarikh dan masa) untuk setiap kumpulan membahas adalah di atas pilihan para peserta sendiri. Pihak penganjur hanya akan menghubungi pihak yang berkenaan sekiranya ada sebarang percanggahan/pertindihan tarikh/masa/posisi kerajaan/pembangkang (sila rujuk soalan no 5)


(7) Bilakah kami perlu berada di DBP?

Para peserta dinasihat berada di Dewan Bahasa & Pustaka, Jalan Bahasa, Kuala Lumpur (Sanggar Tun Sri Lanang dan Laman Karyawan, Tingkat 2, Menara DBP) sekurang-kurangnya 2 jam sebelum masa perdebatan yang telah dipilih. Ini ialah penting untuk memudahkan kelancaran urusan pendaftaran/penyemakan kumpulan debat yang ada memandangkan jalan-jalan menghala ke DBP senantiasa sesak – sudah semestinya pihak kami tidak mahu ada peserta yang tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas :)


(8) Boleh tak kalau saya datang pada hari perdebatan yang dipilih sahaja?
Ya, memandangkan para peserta bebas memilih giliran masing-masing.


(9) Bolehkah kami dapatkan tajuk-tajuk yang akan didebatkan?
Tajuk-tajuk perdebatan hanya akan diberi 30 minit sebelum masa berdebat (berdasarkan peraturan Debat Ala-Parlimen).


(10) Maklumat mengenai jadual perdebatan...
Pihak kami akan memaklumkan para peserta dari masa ke semasa mengenai jadual terkini perdebatan. Jadual terkini akan kami poskan di laman blog ini sebelum atau pada hari Jumaat, 15 Disember 2006 ini untuk rujukan dan tindakan lanjut para peserta.


(11) Penyertaan secara individu atau berkumpulan (3 orang)?
Pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan secara individu mahupun berkumpulan (3 orang). Sekiranya ada individu-individu berkenaan yang tidak mempunyai rakan debat, pihak penganjur akan menyediakan rakan debat untuk peserta berkenaan.


(12) Saya bukan pelajar universiti, baru selesai menduduki STPM. Bolehkah saya menyertainya debat ini?
Untuk makluman yang berminat, penyertaan ini terbuka kepada semua individu yang berminat :) Pihak kami menghargai minat dan sokongan anda demi menjayakan program ini.


(13) Setiap kumpulan akan berdebat berapa kali? untuk individu perseorangan, tidak ada limitasi penyertaan bagi pendebat yg mewakili pasukan tersebut?
Setakat ini, memandangkan pihak kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada individu/kumpulan yang terbabit, maka pihak kami menghadkan bagi setiap kumpulan dan individu yang sama untuk berdebat maksimum 2 kali sahaja. Sebarang pertukaran akan dimaklumkan kemudian.


(14) Tajuk boleh dipilih sendiri atau diberikan secara rawak?
Pihak penganjur akan memberi tajuk kepada para peserta (sila rujuk soalan no. 9)

5 comments:

Anonymous said...

bilakah senarai nama peserta dan jadual perdebatan akan dikeluarkan. yang kedua, bagaimana untuk memastikan sama ada pendaftaran kami sudah diterima atau belum?

Anonymous said...

bolehkah saya menyertai bahas ini walaupun saya bersekolah menengah?
jika boleh,adakah saya akan berdebat dengan peserta yg lebih tua daripada saya,seperti pelajar universiti?

Anonymous said...

boleh tak diasingkan peserta dari sekolah menengah dengan pelajar u

Anonymous said...

boleh tak lanjutkan penginapan, maknanya sesiapa dari luar lembah klang diizinkan untuk stay selama 5 hari.. x tau nak duk mane laa nnti...

blog moderator said...

kepada anonymous -

(1) bilakah senarai nama peserta dan jadual perdebatan akan dikeluarkan. yang kedua, bagaimana untuk memastikan sama ada pendaftaran kami sudah diterima atau belum?
-------------------------------
pihak kami masih lagi di dalam proses pelarasan terakhir memandangkan penyertaan yang amat menggalakkan. harap maaf di atas kelambatan ini - ia adalah kerana pihak kami ingin semua semua peserta yg mendaftar mendapat peluang yg sama rata. kami akan mempamerkan jadual perdebatan selewat2nya jam 5.30pm ini.
-------------------------------

(2) bolehkah saya menyertai bahas ini walaupun saya bersekolah menengah? jika boleh,adakah saya akan berdebat dengan peserta yg lebih tua daripada saya,seperti pelajar universiti?

(3) boleh tak diasingkan peserta dari sekolah menengah dengan pelajar u

-------------------------------
ya, anda boleh menyertai debat ini.
sekiranya jam/waktu yg anda pilih ialah sama dgn pelajar universiti, ya, anda akan berdebat dengan mereka. perkara ini lazim berlaku seperti lain-lain catatan rekod debat yg ada seperti 50Jam Debat Bahasa Inggeris Tanpa Henti.
-------------------------------

(4) boleh tak lanjutkan penginapan, maknanya sesiapa dari luar lembah klang diizinkan untuk stay selama 5 hari.. x tau nak duk mane laa nnti...
-------------------------------
harap maaf. pihak kami tidak dapat melanjutkan penginapan bagi peserta debat sehingga 5 hari - ini penting utk membuka ruang kepada peserta lain yg juga memerlukan penginapan. selain penyertaan debat yg menggalakkan, di atas sebab sebeginilah pihak kami terpaksa menghadkan jam debat kepada individu yg sama kepada 2 jam maksima sahaja - bermakna sekiranya anda tinggal di luar kl dan akan berdebat selama 2 jam, penginapan hanya disediakan pada hari perdebatan sahaja (dalam kes ini, sehari sahaja).
----------------------------------